Mengapa sukar untuk memberi maaf apabila hati sudah terguris? Mengapa tidak mahu melupakan disakiti? Mengapa tidak tenang dan sering berdendam apabila dihina dan diumpat?
Andainya kita tidak mampu memaafkan kesalahan orang lain bererti kita belum mempunyai hati yang benar-benar bersih, kita belum menjadi seorang yang rendah hati dam pemaaf.
Lunakkan hati dengan renungan ini: Bila sukar memaafkan kesalahan orang lain bermakna kita ada sifat ego dan sombong yang dimurkai oleh Allah. Siapakah kita yang mahu merasakan diri sebagai ‘tuan’ dan mahu orang lain sentiasa berbuat baik terhadap kita.
Bila ada orang membuat kesilapan, siapakah kita untuk marah, berdendam dan berharap dia akan menerima balasan dari perbuatannya. Setiap orang ada kelemahan dan kekurangan, termasuk diri kita. Kalau hari ini orang bersalah dengan kita, tidak mustahil suatu hari nanti kita pula tersalah dengan orang. Apakah kita jamin yang kita tidak akan membuat salah dan silap? Kalau kita mahu memaafkan kesalahan kita, pasti orang lain pula mengharapkan kemaafan dari kita.
Ingatlah bahawa semua yang terjadi ini hakikatnya adalah dari ALLAH jua. Segala kelemahan dan kesalahan manusia terhadap kita adalah ujian dari ALLAH. Dia mahu melihat apakah kita dapat menerimanya dengan sebaik-baiknya. Bila kita tetap marah dan tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain pada kita ertinya kita marah pada ALLAH. Kita berkata “ALLAH, tidak patut Kau buat aku begini.”
Bila orang bersalah dengan kita selidiklah apakah dosa yang kita lakukan sehingga ALLAH takdirkan begitu terhadap kita. Bila sedar akan kesilapan dan dosa kita sama ada terhadap manusia atau kecuian kita pada ALLAH, nanti akan datang rasa ‘memang patut dihukum’ dan orang yang melakukan kesilapan terhadap kita hanyalah sebagai perantaraan sahaja.
Bila sedar bahawa segala kejahatan manusia terhadap kita merupakan hukum dari ALLAH, seharusnya kita bersyukur kerana dihukum di dunia. Itu juga tanda ALLAH memberi perhatian kepada kita dan mahu mengampunkan dosa-dosa kita di dunia agar terlepas hukuman yang lebih dahsyat di akhirat. Sepatutnya ini menggembirakan kita sehingga mampu untuk kita memaafkan orang yang bersalah.
Seandainya kita tidak mahu memaafkan kesilapan orang, kita tidak untung apa-apa. Apalagi kalau berdendam atau bertindakbalas dan berkasar terhadapnya; maka kita juga akan terjerumus dalam dosa dan mendapat kebencian dari ALLAH S.W.T.
Memberi kemaafan adalah sukar sekiranya kita belum ada sifat kehambaan, yang melihat segala yang berlaku adalah di bawah pentadbiran ALLAH Yang Maha Mengetahui. Kita akan takut untuk marah dan berdendam dengan manusia hanya dengan ujian yang menimpa, kerana bimbang kalau-kalau ujian itu merupakan petanda ALLAH sedang murka terhadap dosa-dosa kita.
RASULLAH S.A.W BERSABDA: “SEBAIK-BAIK MANUSIA ADALAH ORANG YANG LAMBAT MARAHNYA DAN SEGERA PULA REDA APABILA SUDAH MARAH DAN SEJAHAT-JAHAT MANUSIA ADALAH ORANG YANG LEKAS MARAHNYA DAN LAMBAT PULA REDA MARAHNYA ITU.”
No comments:
Post a Comment