FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI MASALAH DISIPLIN PELAJAR
Institusi Keluarga
Ibu bapa adalah orang yang terpenting dalam sesebuah keluarga. Mereka memainkan peranan utama dalam mencorak masa depan keluarga. Anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang menjadi pengarahnya. Dalam konteks ini, penekanan aspek disiplin amat mustahak sekali. Terdapat di kalangan ibu bapa yang tidak menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak terikut dengan sikap dan perbuatan ibu bapa mereka. Ada ibu bapa yang tidak sehaluan atau sefahaman di rumah, anak-anak merasa tidak aman dan cuba mencari jalan keluar dari masalah ini.
Contohnya Ibu dan bapa sering berkelahi di hadapan anak-anak dan pada waktu yang sama mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Sesetengah ibu bapa pula menyerahkan soal disiplin sepenuhnya kepada pihak sekolah, sedangkan pada hakikatnya pembentukan morality seseorang itu bermula di rumah.
Dengan ini timbul golongan anak-anak yang tidak mendengar nasihat keluarga dan banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya untuk berkongsi masalah dan menghilangkan rasa bosan.
Punca pendapatan ibu bapa juga mempengaruhi masalah disiplin. Ibu bapa yang berpendapatan rendah menyebabkan anak-anak tidak mampu membayar yuran persekolahan. Pelajar merasa malu untuk ke sekolah. Oleh itu mereka melencong atau melepak di kompleks-kompleks membeli belah. James Becker mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat menwujudkan pengawalan diri yang baik.
Rakan sebaya
Rakan atau kawan adalah ibu bapa kedua bagi seseorang pelajar. Ada pelajar yang masih berkawan dengan rakan yang tidak bersekolah. Mereka yang tidak bersekolah ini mungkin kerana keciciran dalam pelajaran ataupun sudah menamatkan alam persekolahan akan berlagak dewasa dengan menghisap rokok, berpakaian tidak senonoh dan melakukan sesuatu tindakan untuk menarik perhatian.
Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi bagi pelajar miskin. Kedua-dua ibu bapa sibuk mencari nafkah, si anak akan terbiar dan memilih haluan sendiri. Pelajar ini mempunyai perasaan rendah diri dan bagi menunjukkan diri mereka hebat dan berkemampuan, peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah tidak diikuti.
Pengaruh rakan sebaya mampu mencorakkan sikap dan nilai tingkahlaku pelajar, lebih-lebih lagi mereka yang tercicir dalam pelajaran dan yang mengalami masalah keluarga. Pelajar menganggap peraturan dan undang-undang sekolah sebagai sesuatu yang remeh dan tidak perlu dipatuhi.
Mereka akan membentuk kumpulan sendiri yang akan mengadakan peraturan tertentu. Ahli kumpulan tersebut hendaklah mematuhinya. Dari sini mula timbulnya masalah disiplin seperti peras ugut dan pergaduhan.
Pihak sekolah
Sekolah adalah rumah kedua para pelajar. Begitu juga dengan para pendidik yang menjadi ibu bapa semasa di sekolah. Tugas guru semakin mencabar dalam era globalisasi. Di samping menjadi pendidik, mereka juga menjadi 'role model' kepada pelajar. Kegagalan guru mendidik akan menjurus ke arah masalah disiplin pelajar.
Negara kita juga menghadapi masalah kekurangan guru lelaki di mana fenomena ini mungkin menjadi salah satu punca kemerosotan disiplin. Nisbah antara guru lelaki dengan guru perempuan pada kadar 4 : 6 (Berita Harian: 19 Julai 1999). Keadaan yang lebih meruncing sangat dirasai di sekolah rendah dan menurut Kementerian Pendidikan, fenomena kekurangan guru lelaki akan berterusan dalam beberapa tahun yang akan datang kerana jumlah guru pelatih perempuan di Maktab perguruan melebihi jumlah guru pelatih lelaki.
Amalan demokrasi dalam pendidikan kurang diterapkan terutamanya dalam pemilihan mata pelajaran elektif. Pelajar tidak sepatutnya dipaksa memilih aliran belajar dan mata pelajaran pilihan. Ia boleh menjejaskan prestasi pelajar tersebut. Ini menyebabkan berlakunya konflik jiwa, pemberontakan batin dan rasa tidak puas hati di jiwa pelajar.
Konflik juga timbul kerana pelajar tidak puas hati kepada guru yang mengajar. Contohnya pengajaran guru tidak berkesan atau kurang cekap dalam mata pelajaran berat seperti Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Selain itu sekolah di negara ini kebanyakkannya berorientasikan kepada peperiksaan maka pelajar menghadapi tekanan mental dan sosial.
Pengaruh media massa dan siber
Media massa dapat di kategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media elektronik. Kedua-dua media ini banyak mempengaruhi para pelajar ketika ini. Golongan remaja khususnya para pelajar mudah meniru dan mengikut pelbagai adegan dan perlakuan negatif yang ditayang dalam pelbagai media.
Contohnya filem, suratkhabar, majalah dan televisyen yang menonjolkan budaya kuning amat mudah diikuti oleh para pelajar. Babak ganas dan seks akan menjadikan fikiran remaja keras dan rakus.
Mereka ingin tahu dan mencuba sendiri apa yang dilihat. Dalam era globalisasi ini juga menyebabkan para pelajar dapat mencapai pelbagai maklumat dengan melayari internet. Dengan wujudnya 'siber cafe' telah memudahkan para pelajar mendapat bahan dan maklumat mengikut citarasa samada yang berguna dan berfaedah atau yang boleh merosakkan minda pelajar seperti melayari laman web lucah.
No comments:
Post a Comment